Program Khidmat Ummah Alumni KUIS (Free Food) 2016
Assalamualaikum Wrt. Wbt. dan Salam Sejahtera...
Program khidmat ummah ini merupakan sebahagian besar usaha untuk mewujudkan hubungan dua hala yang erat antara Alumni dengan pihak KUIS. Jalinan kerjasama ini akan dapat meningkatkan hubungan dan jaringan dengan semua Alumni KUIS dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti. Selain menjadi pemangkin kepada penyatuan dan penyusunan para Alumni KUIS, Seksyen Alumni dan Rundingcara (SAR), Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM) dengan kerjasama Persatuan Alumni KUIS sebagai pengantara (liaison) kepada KUIS dengan mewujudkan jalinan perhubungan sepanjang hayat di antara Alumni yang memfokuskan sumbangan Alumni kepada KUIS sekaligus dapat membentuk kerjasama di antara alumni KUIS dengan bakal graduan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan Alumni KUIS adalah seramai 15,179 orang (1988 - 2016). SAR, BPM telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aktiviti dan program Alumni KUIS bersama Persatuan Alumni KUIS. Program ini berhasrat untuk melaksanakan khidmat ummah di KUIS dengan mengambil langkah untuk mendekati bakal graduan yang akan menduduki peperiksaan. Disamping itu, Alumni sedia untuk mengedarkan sedikit makanan yang diberikan secara rawak dan percuma kepada bakal graduan. Inisiatif ini diambil untuk memberikan galakan dan semangat kepada bakal graduan sebelum menghadapi peperiksaan.
Program ini berhasrat mendedahkan Alumni KUIS kepada konsep khidmat ummah yang perlu diterapkan dalam diri Alumni selepas tamat pengajian. Dalam pada masa yang sama, Alumni juga sangat digalakkan untuk memberikan sumbangan tidak kira dari segi kewangan, kesukarelawan, keusahawanan, dan kerjaya yang seterusnya dapat melahirkan warganegara Malaysia yang patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan Negara khusnya dalam menabur bakti kepada KUIS.
Sekian, terima kasih.